Pusat Ulum Pondok Dan Pencerahan Tamadun merupakan pelopor
utama yang mengusahakan penyelidikan yang bersumberkan khazanah karya agung telah berjaya memiliki
buku dasar. Buku dasar berjudul Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizika karya
Mohd Zaidi Abdullah menjadi asas paradigma bagi pembangunan pusat ini untuk bertapak kukuh di Malaysia.
Ini berbuktikan pengakuan rasmi Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar seperti berikut:
"Saya sedar belum ada lulusan institusi pengajian tinggi moden di Malaysia
yang menaruh minat terhadap Hikmah al-Isyraqi apatah lagi berusaha untuk mendedahkan sedikit sebanyak aliran ilmu falsafah
ini dalam bentuk penulisan ... Saya lihat saudara Mohd Zaidi menyedari hakikat kegunaan dan kerelevanan Hikmah al-Isyraqi
yang berbagai-bagai ... Selaras dengan ilmu dan kemampuan ilmiah yang ada pada dirinya, beliau berusaha untuk menunjukkan
kerelevanan Hikmah al-Isyraqi dengan pemikiran moden."
Mohd Zaidi Abdullah juga mendapat pengakuan ilmiah secara rasmi daripada
Prof. Madya Dr. Shahidan Radiman seperti berikut:
"Dalam penulisan buku ini, pengarang menekankan juga sistem maqulat
yang merupakan asas banyak kajian semasa dalam bidang fizik dan matematik termasuk sub-bidang kepintaran buatan dan logik
simbolik dan automata selular. Malah, apabila mekanik kuantum mengalami masalah asasnya (foundation problem) para ahli sains
teori mengalihkan pandangan ke bidang logik bagi menerangkan asas mekanik kuantum ini dan apabila teori graviti kuantum mendapat
masalah untuk mengkuantumkan medan graviti para penyelidik di seluruh dunia bermula dengan satu paradigma baru yang berdasarkan
maqulat seperti teori topos dan yang selainnya. Penulis juga menekankan tentang konsep nombor yang diterokai oleh ahli Hikmah
al-Isyraqi, dan teori nombor sehingga kini dipercayai mempunyai rahsia yang terpendam dalam menghurai banyak fenomena fizik
seperti sistem nombor khayal (digunakan banyak dalam bidang fizik tenaga tinggi) dan yang terkini nombor p-adik dan sistem-sistem
lain seperti twistor, dyadic dan lain-lain, termasuk kaitannya dengan sistem matematik tak komutatif dan topologi seperti
polynomial Jones.
Mereka yang terlibat dalam penyelidikan frontier seperti dalam bidang
kosmogoni, kejuruteraan genetik khasnya pengklonan dan Origin of Life, sudah tentu prinsip pimpinan (guiding principle) perlu
didapatkan melalui nas-nas al-Quran, hadith dan ajaran tasawwuf yang muktabar. Oleh itu, buku yang dikarang oleh saudara Mohd
Zaidi Abdullah ini serba sedikit akan memberi panduan ke arah itu.
... saya ucapkan syabas kepada Mohd Zaidi Abdullah kerana berjaya
menyiapkan penulisan yang agak sukar dan bermakna ini untuk dipaparkan kepada para ilmuwan di Malaysia khasnya dan di Nusantara
amnya."
Buku ini diulas dalam JAWHAR (Jurnal Ulasan Buku)
Jilid 1, Bilangan 3, Okt/Nov. 2004,
Akademi Kajian Ketamadunan
Kolej Dar al-Hikmah
Selangor
dan dalam;
Utusan Malaysia (10. Januari. 2005)