logo.jpg

Bangsa Melayu: Mencanai Minda - Membentuk Sikap oleh Raja Nazrin Shah

Home
Blank page
al-Musalsalat e
Sanad
Penyelidikan dan Pembangunan
Senarai Isi Kandungan Jurnal Kesturi
al-'Ilm, al-Maqulat dan al-Hikmah Dalam Pemikiran Ulama Melayu: Suatu Penelitian Awal
harap bersabar................
Roshdi Rashed (Professor at Centre National de la Recherche Scientifique, Paris, France)
Ibnu Khaldun
Apabila Allah Mentaqdirkan ...
Bangsa Melayu: Mencanai Minda - Membentuk Sikap oleh Raja Nazrin Shah
Kertas Kerja Di WORLD CONFERENCE OF ISLAMIC SCHOLARS OIC
Suasana Masyarakat
AKADEMI ULUM PONDOK DAN PENCERAHAN TAMADUN
Dialog Peradaban
Seminar Kesinambungan Pengajian Tradisional (Sempena 73 Tahun Madrasah Rahmaniyah Lubok Tapah)
Blank page

di Kongres Pendidikan Melayu Ke-2 (27hb.Mac.2005)

- Dalam Negeri -

Nilai Melayu secara adil: Raja Nazrin


KUALA LUMPUR: Sebarang kelemahan yang dimiliki orang Melayu tidak harus dirumuskan sebagai identiti nasional atau sifat monopoli bangsa Melayu, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah (gambar).
 
Sebaliknya, baginda mahu orang Melayu dinilai secara adil dan bijaksana merangkumi semua aspek – sejarah, politik, masa dan budaya – supaya kekuatan yang ada dapat diperkukuh, manakala segala kelemahan boleh diperbaiki.

Bangsa Melayu, tegas baginda, perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan negatif yang merendahkan martabat bangsa sendiri.

“Sedarlah! Apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir dan adat budayanya bakal tersingkir.

“Apabila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang, beras pula disangka pasir,” titah baginda dalam ucaptama ‘Bangsa Melayu: Mencanai Minda - Membentuk Sikap’ di Kongres Pendidikan Melayu Kedua di sini semalam.

Raja Nazrin bertitah, hakikatnya budaya Melayu menganjur dan menyanjung sifat rajin. Ungkapan negatif yang terlalu kerap diulang-ulang boleh meracun jalan pemikiran hingga bangsa menjadi keliru.

Maruah bangsa wajib dipertahan dengan menyemai rasa bangga dan menanam semangat yakin kerana jika sesuatu bangsa mula berasa rendah diri, ragu-ragu akan kelebihan nya, bangsa itu akan dihinggapi penyakit lemah semangat, kurang usaha, rendah kedudukannya, hidup dalam suasana melarat, terjajah dan terhina.

Kerana itu, titah baginda, merendah, memperkecil dan memburukkan bangsa dengan ungkapan negatif, bukan kaedah yang sihat dalam hasrat membangunkan bangsa.

“Apabila ada di kalangan segelintir Melayu yang malas, ia tidaklah bermakna budaya Melayu menganjurkan unsur malas hingga diterima sebagai karakter nasional milik bangsa. Hakikatnya budaya Melayu menganjur dan menyanjung sifat rajin, manakala ungkapan `malas’ terdapat juga dalam pelbagai bahasa dan budaya.

“Keyakinan bangsa harus dibina, jiwa dimerdekakan dan diperkaya dengan nilai-nilai positif terutama dalam menghadapi persaingan di peringkat global yang memerlukan individu yang berfikiran terbuka serta memiliki minda yang inovatif, kreatif dan imaginatif,” katanya.

Raja Nazrin juga menekankan pentingnya persekitaran yang menghargai cetusan idea dan mengizinkan percambahan fikiran serta persekitaran yang menghormati orang berilmu sekalipun berbeza pendapat dan berlainan pandangan.

Titah baginda, walaupun tanah air milik Melayu ini telah dimerdekakan, ia tidak membawa erti jika bangsa Melayu masih dibentuk berjiwa abdi serta mindanya dicanai bersifat hamba.

Oleh itu, pemimpin Melayu harus memiliki keberanian dan kekuatan untuk melindungi bangsanya, memiliki wawasan untuk memajukan bangsanya serta arif mencipta ramuan yang dapat memberi kemenangan kepada bangsanya.

“Pemimpin Melayu juga harus bijak mengenal pasti bidang-bidang yang dapat memberi kelebihan kepada bangsanya, serta memperlihatkan keberanian, kekuatan dan ketegasan dalam menghadapi tekanan yang mahu menggugat ketuanan bangsa” titahnya.

Baginda kesal kerana agama Islam, yang berpengaruh dalam membentuk sikap dan mencanai minda bangsa Melayu, disalahguna dan dieksploitasi untuk politik dan tujuan lain yang tidak produktif sedangkan ia perlu diterokai sepenuhnya untuk pembangunan bangsa.

“Malang bagi bangsa apabila agama yang bertujuan menyatukan ummah, kini dipolitikkan dan mula menjadi pencetus kepada perselisihan dan pemisahan umat yang merugikan bangsa Melayu.

“Pendekatan berlandaskan agama perlu diolah dalam dimensi lebih luas dengan pendekatan melalui saluran agama yang perlu dikembangkan dan dilaksanakan secara lebih inovatif dan kreatif.

“Agama Islam mempunyai pengaruh sangat mendalam dalam kehidupan bangsa Melayu serta memiliki kuasa magnetik yang boleh menangkap emosi bangsa, namun kuasa dan kekuatan itu belum diterokai sepenuhnya,” titah baginda.

Raja Nazrin turut menyarankan agar istilah ulama diberikan takrif lebih menyeluruh, merangkumi golongan ilmuan dalam pelbagai disiplin dan dijadikan contoh teladan untuk memberikan inspirasi supaya minda Melayu terbuka lebih luas.

Pada masa yang sama, masjid dan surau yang mempunyai sejarah hubungan dengan kegiatan perkembangan ilmu melalui peranan sekolah pondok, perlu diberikan dimensi baru dan disesuaikan dengan pengajaran ilmu-ilmu kontemporari.

“Kandungan pengajian sekolah pondok memerlukan perekayasaan supaya sekolah itu dapat menjadi tapak semaian minda membantu menghasilkan golongan profesional, teknokrat dan saintis Melayu bagi melangsungkan agenda pendidikan pendidikan sepanjang hayat,” titah baginda.
 

Enter supporting content here